MAJLIS PERASMIAN AL-MIZWALAH, DATARAN FALAK AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA (APIUM)


5 MEI 2025 - Satu Majlis Perasmian al-Mizwalah dan Dataran Falak Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah berlangsung dengan jayanya di Balai Ilmu Mahmood Zuhdi (BIMZ), APIUM. Perasmian Al-Mizwalah atau jam Matahari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Sahibus Samahah Prof. Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan yang turut diiringi oleh Profesor Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Dekan Akademi Pengajian Islam.


Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Ustaz Abdullah bin Hassan, pereka bentuk al-Mizwalah tersebut. Pelancaran ini diadakan bersempena dengan penganjuran Jurnal Syariah International Conference 2025 yang diadakan pada 6 Mei 2025, bersamaan 8 Zulkaedah 1446H.


Uniknya, al-Mizwalah di Dataran Falak APIUM adalah berbentuk rehal al-Quran sebagai simbol keilmuan di dalam Islam, serta dijalinkan motif bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan negara Malaysia. Pembangunan al-Mizwalah ini merupakan satu usaha pemerkasaan pengajian ilmu falak di APIUM yang bukan sahaja memelihara nilai tradisi ilmu Islam tetapi juga turut menerapkan perkembangan teknologi semasa yang kini berada dalam era kecerdasan buatan (AI).