Mizwalah Malaysia mula bergerak pada tahun April 2012 selepas perasmian Mizwalah atau jam matahari jenis mendatar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan, sempena Sambutan Ulangtahun ke-75 penubuhan Maahad Muhammadi di Kota Bharu. Pasukan Mizwalah Malaysia mula bergerak aktif dalam merangka dan membina mizwalah di seluruh Malaysia, serta aktif dalam menggerakkan aktiviti bengkel dan penerangan berkenaan konsep, rekabentuk, penggunaan secara praktikal serta teori pengukuran waktu yang lebih dekat dengan masyakarat.Â
Mizwalah Malaysia telah merekabentuk dan membina jam matahari di seluruh Malaysia, samada yang dibuat dan diletakkan di dalam galeri pameran di jabatan-jabatan mufti dan balai cerap seluruh Malaysia, dijadikan hadiah dan cenderahati kenangan atau dijadikan sebagai monumen yang berfungsi dan praktikal sebagai alat pengukuran waktu dan pembelajaran astronomi oleh pelajar-pelajar. Tidak kurang juga monumen jam matahari ini dijadikan komponen utama lanskap atau penghias halaman luar bangunan.
Antara monumen jam matahari yang direka dan dibuat oleh Mizwalah Malaysia ialah jam matahari jenis mendatar di Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu (2012), Masjid Negara (2015), Masjid Abdullah Fahim (2015), Sekolah Angkatan Tentera Johor Bharu (2016), Balai Cerap Kota Bharu (2017), Kem Mahkota, Kluang, Johor (2021), Sekolah Tun Fatimah Johor Bharu (2021), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Jalan Semarak (2021), Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah (2022), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu (2022), PD Forest @Sungai Menyala, Port Dickson (2022) dan Kolej PERMATA Insan USIM (2024). Terdapat juga rekabentuk jam matahari dalam bentuk rehal yang mengangkat simbol keilmuan dan dibina di pusat pengajian tinggi yang dibina di Politeknik Kota Bharu (2023) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (2024). Manakala rekaan jam matahari dalam bentuk ekuatorial melentur pula dibina di Balai Cerap Negeri Sembilan pada tahun 2025.
Kesemua rekaan-rekaan ini dibina dengan penuh dedikasi dan teliti agar ianya menepati kehendak dan standard pengukuran waktu, agar monumen ini bukan sahaja berdiri megah sebagai satu bentuk manifestasi ilmu, bahkan praktikal untuk digunakan khususnya dalam pembelajaran dan penerangan berkaitan falak dan astronomi.